Abu Bakar Bin Yang
Fellow
03/04/2009 | Artikel Bahasa Malaysia
Saban tahun umat Islam akan menyambut beberapa peristiwa penting sirah nabawiah sebagai satu usaha untuk mengenang dan menghayati kembali perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. Terbaru sekali ialah sambutan Maulidur Rasul yang telah disambut pada semua peringkat sama ada di peringkat kebangsaan maupun negeri. Maka berduyun-duyunlah umat Islam keluar berarak di jalanraya bagi menyatakan kasih sayang kepada Junjungan Rasul pilihan. Sebelum itu, pada penghujung 2008 yang lalu, yang hanya beberapa hari sebelum kehadiran tahun 2009, disambut pula kedatangan Ma'al Hijrah 1430H, dan berikutnya sepanjang tahun ini dan tahun-tahun mendatang kita umat Islam akan terus membuat sambutan-sambutan sebegini dengan tidak memahami apakah erti dan makna yang tersirat di sebalik sambutan-sambutan tersebut.
Sebagai contoh, sudah menjadi kelaziman kehadiran tahun baru disambut dengan tekad dan azam baru. Iaitu azam yang telah dilalui sebelumnya diperbaharui atau diperkukuhkan dengan semangat dan cita-cita baru. Namun begitu, ramai juga yang jahil dengan menyambut tahun baru dengan bergembira, berhibur dan bersukaria sepuas hati sehingga melampui batas-batas yang telah ditetapkan syariat.
Berbanding dengan mereka yang memiliki kefahaman Islam, sambutan Ma'al Hijrah atau tahun baru Islam mempunyai dorongan yang berbeza kerana ianya mengambil semangat atau roh penghijrahan baginda Rasulullah s.a.w. dari bumi yang penuh dengan kekufuran dan kemunkaran kepada satu kehidupan yang dinaungi oleh roh keimanan dan keredhaan Allah SWT. Maka dengan itu, sambutan tahun baru yang berdasarkan kepada penghijrahan insan yang mulia ini, membawa makna yang jauh lebuh besar kerana ianya berupaya mengubah hidup seseorang, malah berupaya juga mengubah dunia dan membentuk satu tamadun yang jauh lebih hebat daripada mana-mana tamadun yang pernah dibentuk sebelum itu.
Begitu juga dengan sambutan Maulidur Rasul yang baru sahaja berlalu. Apakah hikmah di sebalik sambutan kelahiran insan yang mulia ini? Adakah sama sambutan kelahiran baginda Nabi dengan manusia-manusia lain? Semuanya ini akan terjawab apabila kita memiliki kefahaman yang benar terhadap apa yang dituntut oleh Islam.
Sekiranya kehadiran Ma'al Hijrah menuntut kita supaya mengiringinya dengan semangat dan penghayatan hijrah dari satu keadaan kepada satu keadaan yang lebih baik sebagaimana yang telah diperlihatkan oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w., maka begitulah juga Maulidur Rasul menuntut kita supaya setiap tindak tanduk dan gerak geri kita seiring dengan apa yang telah disabdakan oleh Baginda. Apabila semangat dan kasih sayang ini dipandu dengan kefahaman dan penghayatan yang betul, maka akan lahir mereka yang memiliki jiwa yang sanggup untuk berubah dan bersungguh-sungguh untuk membuat perubahan. Dan perubahan yang dibawa itu pula akan memberi makna yang besar kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan juga agama.
Sebenarnya jika kita teliti peristiwa-peristiwa yang telah berlaku sepanjang sirah atau penghidupan Rasulullah bermula dari bumi Mekah hinggalah ke Madinah, nyatalah kepada kita bahawa kehidupan baginda bukanlah hanya satu rentetan peristiwa yang tidak sengaja atau kebetulan yang terjadi dalam kehidupan baginda Rasulullah s.a.w. Perjalanan hidup baginda dengan segala liku dan susah payahnya itu jelas mengandungi hikmah yang terlalu banyak.
Antaranya ialah budaya kerja yang berencana (systematic.) Sesuatu cita-cita tidak mungkin dapat dijayakan hanya dengan berdoa dan penyerahan semata-mata, tetapi harus dilaksanakan dengan perencanaan yang cukup rapi dan teliti. Yang dimaksudkan dengan perencanaan atau ‘planning' ialah suatu proses menentukan matlamat, menggariskan kaedah-kaedah dan tindakan-tindakan untuk mencapai matlamat tersebut.
Perencanaan juga boleh difahami sebagai usaha antara masa kini dengan masa depan yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang akan terjadi di masa depan. Umpamanya, bilamana Allah SWT memerintahkan kita agar bersiap sepenuhnya untuk menghadapi musuh dengan segala rupa kekuatan sepertimana yang telah Allah firmankan dalam surah al Anfal ayat yang ke 60. Ayat tersebut memerintahkan kita umat Islam membuat perancangan pertahanan dengan mengambil kira perubahan-perubahan dan kemajuan-kemajuan yang sedang berlaku dan akan berlaku dalam bidang ketenteraan dan juga teknologi persenjataan.
Lebih-lebih lagi di saat umat Islam menghadapi ancaman yang datangnya bukan sahaja dalam bidang ketenteraan, malah telah meningkat kepada ancaman-ancaman bentuk lain termasuk budaya, pendidikan dan ekonomi. Maka dengan itu, perintah Tuhan, "...waa'iddu lahum..." (bersiaplah menghadapi mereka...) itu harus pula difahami dari sudut semangatnya dengan membuat perancangan-perancangan yang mantap dan jitu dalam bidang-bidang lain seperti kebudayaan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya.
Apatah lagi kita di zaman yang penuh persaingan seperti sekarang ini, kecemerlangan dan keunggulan hanya akan dapat dicapai dengan penyuburan budaya kerja yang berencana, yang disusun dengan begitu rapi dan teliti, yang disertakan pula dengan pemikiran yang tajam dan bijaksana.
Namun tidak begitu halnya umat Islam ketika menyambut hari-hari kebesaran dalam Islam terutamanya yang berkaitan dengan Sirah Nabawiah. Semangat dan roh perjuangan yang dipamerkan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. sudah luput ditelan zaman. Jarang sekali kedengaran pengisian-pengisian yang boleh membina kembali semangat juang seorang Mukmin yang tulen melainkan program-program yang lesu dan longlai. Yang banyaknya ialah aktiviti-aktiviti hiburan yang pastinya mendapat perhatian dan sambutan yang di luar dugaan.
Lebih malang lagi di saat kita menyambut ma'al hijrah 1430H dan tahun baru 2009 yang lalu dengan seribu macam keinginan dan impian, dan begitu juga dengan sambutan Maulidur Rasul dengan penuh semangat berselawat di sepanjang jalanraya, ramai pula saudara kita di Palestin telah terkorban disembelih oleh Yahudi Zionis yang tidak berperikemanusiaan. Di saat kita menadah tangan berdoa memohon disempurnakan kesejahteraan hidup, namun pada masa yang sama saudara seagama kita di sana berhempas pulas untuk menyambung hidup di bumi sendiri. Mungkin sambutan-sambutan dalam Islam ini boleh dijadikan saluran untuk menyedarkan kita betapa ianya bukan sekadar mengimbau sejarah masa lalu, atau impian dan usaha untuk kesejahteraan diri dan keluarga semata-mata, tetapi juga untuk kesejahteraan orang lain.
Inilah yang telah diperlihatkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan mereka yang bersama dengan baginda, bahawa perjuangan itu bukan untuk keselesaan diri dan keluarga, tetapi untuk Islam dan meninggikan syiar Islam ke seluruh dunia. Jangan kita jadikan sambutan hari kebesaran Islam hanya sebagai satu impian dan harapan yang tidak tercapai kerana sudah terlalu banyak harapan dan impian dalam kehidupan orang Islam masa kini.
Lemahnya umat Islam bukan kerana kita sedikit, tetapi ramainya kita hanya pada harapan dan impian. Sedangkan hakikatnya kita sedikit kerana yang ramainya hanya pada nama dan Islam ikut-ikutan. Begitu juga kayanya negara umat Islam hanya pada harapan dan impian, sedangkan hakikatnya kita miskin, iaitu miskin daya juang dan miskin jiwa pengorbanan. Kita menjadi lebih miskin apabila tidak kurang daripada umat ini sendiri yang sanggup berjual-beli demi untuk meng'kaya'kan musuh. Bersatunya umat Islam hanyalah satu harapan dan impian, sedangkan hakikatnya hati kita berpecah dan cukup mudah dirungkai ikatannya kerana dendam kesumat sesama saudara seagama.
Mungkin ini sebahagian daripada hal-hal yang perlu diberikan perhatian pada kita menyambut hari-hari kebesaran Islam. Memang manusia hanya boleh merencana, tetapi Allah jua yang menentukan berjaya atau tidaknya. Namun manusia tetap diwajibkan merencana dan melaksanakan rencananya dengan setepat-tepatnya. Rencana yang rapi tetapi tidak dilaksanakan sebagaimana semestinya akan berakhir dengan kegagalan. Rela ataupun tidak, kita adalah pemegang amanah dan pemikul kewajiban yang akan membawa perubahan dengan semangat pengorbanan dan perjuangan yang telah dirintis oleh Nabi.
Mudah-mudahan apa yang telah diperlihatkan oleh Rasulullah SAW menerusi sirah atau penghidupan baginda yang telah melakar sejarah yang cukup besar itu mampu untuk kita mengambil pengajaran daripadanya, dan berupaya menjadi umat yang peka dengan hikmah-hikmah yang terkandung di sebalik setiap peristiwa-peristiwa besar guna untuk dijadikan panduan kepada kita umat akhir zaman yang semakin terpinggir ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments
Post a Comment